Tuesday, February 28, 2012

Falsafah Seni bina rumah Islam.




Keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi adalah dua prinsip penting dalam pembinaan sesebuah rumah. Kebanyakan seni bina rumah moden banyak mengabaikan ciri-ciri ukhrawi. Ciri-ciri material melatari dan menjadi tulang asas dalam seni bina dan seni hias rumah masyarakat hari ini. Masyarakat moden hari ini amat terpengaruh dengan pelbagai unsur yang mula menonjolkan rumah sebagai symbol kepada sesuatu yang mereka miliki secara harafiah. Hakikatnya, ia mula memencilkan aspek sepiritual yang turut menyumbang kepada kerukunan rumahtangga.
Malah ia merupakan satu cara paling mudah untuk mengenali sama ada seseorang itu berharta atau sebaliknya. Rumah dengan jelas akan dapat menunjukan gah dan status seseorang itu dari segi kuasa dan pengaruh dalam masyarakat. Masyarakat muslim mula lupa dengan hakikat rumah yang akan menjadi kediaman kekal mereka selepas alam dunia. Dan ditengah-tengah perjalanan ke rumah tersebut terdapat sebuah rumah yang bakal ditempuhi iaitu “ rumah barzkah”. Konsep seni bina rumah moden menjadi dangkal kerana mengetepikan beberapa prinsip asas falsafah hidup mereka. Seterusnya akan menjadikan mereka alfa dengan keberadaan alam maya ini. Kebanyakan plan binaan rumah kontemporari memasukan lokasi tandas di dalam bilik tidur. Tandas mengikut kepercayaan Islam merupakan tempat kegemaran syaitan. Amat malang sekali di sebelah tandas itu pula adalah bilik tidur manusia dan ia menjadi tempat mereka “ memproses” zuriat keturunan Bani Adam. Maka , tidak hairan sekiranya ramai anak-anak muda sekarang perangai mereka seperti syaitan kerana adab dan tabiat ibu bapa mereka yang mengabaikan doa sebelum ber jimak dan ditambah pula faktor bilik tidur mereka berkongsi dengan bilik tandas. Cuba kita perhatikan, plan sesebuah masjid. Rumah seharusnya dibina berpandukan struktur masjid yang mempunyai bumbung berasingan dengan tandas. Tandas masjid dibina supaya tidak berkongsi bumbung dengan ruang solat atau ruang masjid. Aspek ini tidak menjadi keutamaan dalam plan seni bina rumah sekarang. Tidak kurang penting, pembinaan satu ruang khas dalam rumah moden untuk memudahkan proses memandikan jenazah. Mengikut falsafah seni bina tradisional terdapat satu kawasan dalam bilik yang dikenali sebagai “ lantai jarang” untuk tujuan di atas. Konsep lantai jarang dalam rumah moden tidak banyak dipraktikan lagi. Ia hanya dibuat atas kesedaran pemilik rumah yang mahukan sesuatu bilik mempunyai kemudahan tersebut. Sekiranya dikaji dengan teliti kita akan temui banyak hikmah yang terkandung di sebalik konsep “ lantai jarang” ini. Pertama tentang keberadaan rumah yang bersifat sementara. Semua manusia akan sakit dan akan meninggalkan alam dunia ini. Ini merupakan satu hakikat jelas yang tidak dapat ditolak oleh menusia. Walau sebesar mana rumah itu dibina ia hanya bersifat maya dan ia akan menyedarkan pemilik rumah terbabit tentang falsafah sebenar harta dan kemana ia harus digunakan. Manusia pasti akan meninggalkan semua harta ini. Pangkat, keturunan, kuasa, dan harta hanya sebagai satu pinjaman maya pada yang boleh dianggap sebagai ujian Allah kepada manusia. Motif akhir kepada seni bina islam ialah untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Kesedaran terhadap konsep ini akan menjadikan manusia semakin kerdil dan mengerti maksud kehidupan mereka yang maya ini dan seterusnya dapat memancu ke arah peningkatan iman manusia. Akhirnya menjadi ikhlas dan taqwa dengan apa yang diusahakan. Share

No comments:

Post a Comment