Daripada Abdullah bin Abbas r.a. : Bahawa pada suatu hari saya sedang berada di belakang Rasulullah SAW (di atas binatang tunggangannya), lalu sabda baginda : ‘ Wahai anak, sesungguhnya aku mengajar kamu beberapa perkataan. Peliharalah (perintah) Allah, nescaya Dia akan memelihara kamu, peliharalah (kehormatan) Allah, nescaya engkau akan merasakan Dia berada bersama-samamu. Jika engkau memohon, pohonlah kepada Allah semata-mata. Jika engkau meminta pertolongan mintalah kepada Allah semata-mata. Ketahuilah bahawa jika semua umat manusia berkumpul untuk memberikan kepadamu sesuatu menafaat, nescaya mereka tidak akan mampu memberi menafaat itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditakdirkan oleh Allah. Begitu juga sekiranya mereka berkumpul untuk menentukan suatu mudharat untuk kamu, nescaya mereka tidak akan mampu menentukannya, melainkan dengan suatu yang telah ditentukan Allah ke atas kamu. Telah diangkat kalam (tulisan) dan telah kering (tinta) buku catitan.” (HR. Tarmizi dan dia berkata : Hadisnya hasan shahih).
SENI DAKWAH:
1. Untuk Ibn Abbas, sejak kecil Rasulullah SAW berdoa untuknya: “Ya Allah berikanlah kepadanya pemahaman tentang din, dan ajarkanlah kepadanya hikmah.” Apabila beliau di peringkat remaja, baginda bermusafir bersama-samanya dan terus mengambil peluang mentarbiahnya.
2. Oleh itu dalam berdakwah untuk remaja (yang menjadi mad’u), perlu:
a. Berdoa untuk masa depannya.
b. Merancang masa depan mad’u sesuai dengan potensinya
c. Memberi bimbingan yang berterusan.
1. Baginda memanfaatkan setiap detik masa, hatta sewaktu bermusafir pun baginda mentarbiah mad’unya yang masih remaja. Baginda tidak merasa enteng terhadap mad’u kecil, bahkan baginda mengambil berat hal ehwal tarbiahnya.
2. Baginda sentiasa bersemangat untuk mentarbiah mad’unya, sehinggakan sewaktu bermusafir pun baginda tidak melepaskan peluang untuk mentarbiah.
3. Baginda, seorang ketua negara yang agung dan manusia paling mulia, tidak merasa hina menaiki kenderaan bersama remaja kecil. Baginda memperlihatkan contoh KEDEKATAN FIZIKAL, bersentuhan dan bermesra dengan anak remaja. Baginda tidak merasai jurang generasi dengan golongan remaja.
4. Baginda mentarbiah remaja dengan silibus yang berpada, ringan tetapi berterusan – sepertimana kata baginda (yang bermaksud): “aku ingin mengajar kamu BEBERAPA PERKATAAN”.
5. Baginda sentiasa meletakkan asas tauhid sebagai asas tarbiah generasi muda. Generasi muda yang sering gelisah dan sering dilanda pelbagai ketidaktentuan dan ketakutan baginda berpesan supaya bergantung dan memohon pertolongan kepada Allah.
6. Hakikatnya, baginda merencanakan tarbiah jangka panjang untuk Ibn Abbas. Akhirnya lahirlah Ibn Abbas sebagai tokoh, pejuang dan pewaris risalah baginda. Begitulah juga para pendakwah di sepanjang zaman, perlu meletakkan satu rancangan jangka panjang dalam pembinaan generasi muda. Cagarannya ialah pengorbanan, kesabaran, tawakkal dan istiqamah.
Rujukan: Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah SAW, Fakharuddin Nursyam Lc, Bina Insani.
Share
No comments:
Post a Comment