Meninggalkan solat adalah satu dosa besar. Ada satu kisah pada zaman Nabi Musa AS mengenai penghinaan Allah bagi mereka yang meninggalkan solat.
Ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga tetapi tidak mempunyai anak. Lelaki tersebut sangat mengimpikan kehadiran seorang anak dalam rumahtangga mereka. Pada suatu hari, terdetik dihatinya bernazar, jika dia mempunyai anak, dia akan minum air kencing anjing hitam.
Dengan izin Allah isterinya hamil. Selepas isterinya melahirkan anak, dia teringat tentang nazarnya akan minum air kencing anjing hitam jika mempuyai anak. Beliau merasa runsing dengan nazarnya.
Pada zaman nabi Musa AS, syariatnya berbeza dengan syariat pada zaman Nabi Muhammad SAW. Jika umat nabi Muhammad SAW, sekiranya kita bernazar dengan sesuatu yang haram, ia tidak perlu dilaksanakan.Kita perlu menggantikannya dengan denda atau kifarah. Berbeza dengan zaman Nabi Musa AS, sekiranya bernazar dengan sesuatu yang haram, ia tetap perlu dilaksanakan.
Dengan susah hati, lelaki yang sudah mempunyai anak ini pergi berjumpa dengan Nabi Musa AS untuk mengadukan halnya. Dia bercerita kepada baginda tentang nazarnya yang akan meminum air kencing anjing hitam.
Nabi Musa AS lalu mengatakan dia tidak perlu minum air kencing anjing hitam, sebaliknya menggantikan dengan meminum air yang lebih hina dari itu. Baginda lalu memerintahkan lelaki itu menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan meminum air itu. Lelaki itu dengan senang hati menjalankan perintah Nabi Musa AS.
~ * ~
Bayangkan betapa hinanya orang yang meninggalkan solat hinggakan air yang jatuh dari bumbung rumahnya dikatakan lebih hina dari air kencing anjing hitam. Ini belum masuk lagi cerita air tangan yang tentunya lebih hina. Menyentuh tentang air tangan pula, ini adalah satu ingatan untuk kaum wanita. Jika meninggalkan solat tanpa sebarang keuzuran, air tangan yang menitik dalam makanan yang dimasak boleh menggelapkan hati anak-anak kita.
Kewajipan solat sangat utama sehingga Allah SWT mensyariatkan terus kepada Rasulullah SAW melalui peristiwa Israk dan Mikraj. Sedangkan kewajipan-kewajipan lain, memadai Allah menyampaikan melalui Jibril AS kepada Rasulullah SAW.
Jadi marilah kita memelihara ibadah solat kita, dari segi zahir dan batinnya kerana amalan solat adalah yang mula-mula sekali ditanya di akhirat kelak.
Share
No comments:
Post a Comment