Saturday, July 23, 2011

Persiapan Menanti Ramadhan


Persiapan Menanti Ramadhan

Kedatangan sesuatu yang agung dan dinanti-nantikan memang selayaknya disambut besar-besaran dengan persediaan yang hebat dan gilang gemilang.

Apakah persediaan yang sewajarnya untuk kita sambut Ramadhan yang mulia?

1. Banyakkan berdoa agar diberi peluang menjalani ibadah di bulan Ramadhan sama ada yang wajib atau yang sunat dan meraih sebanyak-banyaknya keberkatan, rahmah serta keampunanNya.
2. Bersihkan hati, berlapang dada, maafkan segala kesalahan insan lain terhadap diri kita. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. besabda maksudnya: “Allah s.w.t. menjenguk sekelian makhlukNya pada malam pertengahan Sya’ban, lalu Dia mengampunkan seluruh makhlukNya kecuali musyrik (orang yang menyengutukanNya) dan musyahin (orang yang bercakaran dan bergaduh)”. Riwayat al-Albani dari Mu’az bin Jabal.
3. Jadikan Sya’ban bulan persediaan dengan membanyakkan puasa sunat. Diriwayatkan bahawa Usamah bin Zaid telah bertanya Rasulullah s.a.w.: “Ya Rasulullah! Saya tidak pernah melihat anda berpuasa penuh satu bulan seperti yang anda lakukan pada bulan Sya’ban?”
Baginda menjawab (maksudnya): “Bulan ini sering dilupakan oleh kebanyakan manusia, iaitu bulan yang terletak antara Rajab dan Ramadhan. Ini adalah bulan yang diangkat padanya amalan kepada Allah Rabbul-‘Alamin, dan aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa”. Riwayat al-Munziri
4. Membiasakan diri dengan qiamullail atau bangun malam untuk solat tahajjud, baca al-Quran, beristighfar dan berzikir. Orang yang telah biasa bangun waktu malam untuk melakukan ibadah-ibadah tersebut, akan mudahlah baginya menghayati malam-malam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan nanti.
5. Siapkan diri dengan ilmu serta hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah yang dituntut sepanjang Ramadhan sama ada yang wajib atau sunat.
6. Bersedia untuk mengaktifkan dakwah di bulan Ramadhan dengan menggunakan berbagai-bagai wasilah dan pendekatan. Ramadhan adalah bulan orang berlumba-lumba merebut kebaikan. Jangan lepaskan peluang mendapat ganjaran menyebarkan Islam.
7. Tanamkan azam untuk menjadikan penghayatan Ramadhan tahun ini (jika usia dipanjangkan hingga ke saat itu) lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu.

Share

No comments:

Post a Comment