Thursday, June 16, 2011
3 JENIS MUSIBAH
Terdapat tiga jenis musibah (walaupun pada dasarnya adalah sama) tetapi ia adalah berbeza berdasarkan kepada keadaan penerima dan bagaimana tindakan yang diambil ketika ditimpa musibah itu.
1. KAFARAH
Berlaku ke atas orang yang baik tetapi ketika itu dia terlanjur melakukan kejahatan atau kelalaian dan tidak mampu melawan hawa nafsu.
Maka musibah ini diturunkan sebagai "tebusan" untuk menghapuskan dosa dan keterlanjurannya. Ertinya, Allah membalas di dunia untuk melepaskannya daripada siksaan di akhirat. Musibah ini lebih adalah lebih baik kerana azab di dunia lebih ringan berbanding azab di akhirat.
Ringkasnya, kafarah adalah "ujian untuk orang baik yang berbuat jahat". Dengan ujian itu, orang baik akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan keterlanjurannya lalu berusaha untuk bertaubat dan mendapatkan keampunan-Nya.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan Kami(Allah) timpakan mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar." (surah al-Zukhruf 43:48)
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan Kami pecahkan mereka di dunia ini kepada beberapa golongan. Antara mereka ada yang soleh dan ada yang tidak sedemikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat yang baik - baik dan bencana yang buruk - buruk, agar mereka kembali kepada kebenaran." (surah al - A'raf: 168)
2. BALA
Satu bentuk ujian yang dikenakan ke atas orang jahat yang melakukan kejahatan. Allah s.w.t datangkan musibah ini sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum dengan lebih berat lagi di akhirat kelak. Orang yang sebegini akan diseksa dua kali, pertama di dunia dan kedua di akhirat.
Ringkasnya, bala ialah bentuk ujian kepada "orang jahat yang berbuat jahat". Ummat Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir, Firaun yang ditenggelamkan di Laut Merah, Namrud yang dibunuh nyamuk, Qarun yang ditelan bumi adalah antara mereka yang ditimpa bala di dunia lagi sebelum diseksa di akhirat.
Firman Allah s.w.t lagi yang bermaksud : "Maka masing - masing (mereka) Kami seksa disebabkan dosanya, maka antara mereka Kami kirimkan kepadanya hujan batu kerikil dan antara mereka yang ditimpa letupan suara yang menggempakan bumi, dan ada yang Kami tenggelamkan di dalam laut, dan ingatlah, Allah sekali kali tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri." (surah al-'Ankabut 29:40)
3. IBTILA'
Musibah yang dikenakan ke atas orang baik ketika dia melakukan kebaikan. Musibah ini adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba- hamba-Nya yang taat. Dengan musibah, mereka mendapat pahala syahid, pahala sabar, pahala redha, pahala qanaah, pahala pemaaf, pahala bersangka baik dan sebagainya.
Jika tidak diuji, bagaimanakah hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, redha, pemaaf, qanaah daripada ALlah? Dengan bentuk ujian inilah ada dalam kalangan rasul yang ditingkatkan kepada darjat 'Ulul Azmi (Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, dan Nabi Isa) - yakni mereka yang paling gigih, sabar, dan tabah ketika menanggung musibah.
Ringkasnya Ibtila' ialah ujian ke atas "orang baik yang melakukan kebaikan". Golongan para Nabi, siddiqin, syuhada dam solihin ialah mereka yang sentiasa diuji dalam bentuk ibtila' ini khususnya ketika mereka berjuang menegakkan kebenaran, supaya kita mengambil 'brah dan hikmah daraipanya. Allah s.w.t mengingatkan melaui firman-Nya yang bermaksud :
"Apakah patut kamu menyangka kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepada kamu (ujian) penderitaan sebagaimana yang dideritai orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka yang ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan mereka diancam bahaya sehinggalah Rasul dan orang yang beriman bersamanya merintih : 'Bilakah datangnya pertolongan Allah?'." (surah al-Baqarah 2:214)
Bagi orang SABAR, Allah menjanjikan : :Sesungguhnya orang yang sabar itu diganjari dengan pahala tanpa hisab." (surah al-Zumar 39:10)
Bagi orang yang SYAHID, maksud sabda Nabi Muhammad s.a.w : "Orang yang terbunuh di jalan Allah (syahid) dihapuskan segala dosa melainkan hutang." (Riwayat Muslim no.4992) Share
Labels:
PENGETAHUAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment